Sabtu, 18 Jun 2011

Sahabat Sejati


Ada satu kisah, berlaku lebih kurang satu ribu empat ratus tiga puluh dua tahun yang lalu. Di saat awal penghijrahan seorang Rasul utusan Allah, Muhammad s.a.w dari Makkah ke Madinah. Waktu tu penentangan yang Nabi terima sangatlah hebat. Sampaikan masa Nabi bersolat, orang-orang kafir Quraisy sanggup meletakkan najis, serta isi perut unta ke atas tengkuk dan badan Nabi sewaktu Nabi bersujud.

Waktu tu Allah turunkan wahyu yang membenarkan Nabi untuk berhijrah.

"Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." (Surah Al-Anfal, Ayat 30)

Semasa dalam proses penghijrahan baginda, sahabat yang sentiasa di sisi ialah Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Sebagaimana nama gelaran As-Siddiq tersebut, beliau lah yang sering berada di sebelah Nabi, dan sentiasa tanpa ragu-ragu dan sangsi, membenarkan apa juga kata-kata Nabi. Apa juga perlakuan Nabi, apa juga suruhan dan tindakan Nabi adalah sentiasa benar di mata seorang Abu Bakar. Beliau lah sahabat sejati Nabi Muhammad s.a.w.

Di waktu Nabi dan Abu Bakar berada dalam gua, Abu Bakar berasa sangat risau. Risau bukan sebab gentar dengan ancaman kafir Quraisy, atau risau akan keselamatan dirinya, sebaliknya beliau begitu risaukan keselamatan sahabatnya, Rasulullah s.a.w. Sangat sedih hatinya memikirkan baginda Rasul yang sentiasa diugut, dicederakan dan dicaci oleh masyarakat kafir Quraisy.

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taubah, Ayat 40)

Disebutkan dalam suatu kisah, sewaktu Abu Bakar sedang meriba Rasulullah s.a.w yang sedang tidur, seekor kala jengking menggigit paha Abu Bakar r.a. Disebabkan tak mahu Nabi terjaga, Abu Bakar r.a. menahan kepedihan disengat kala jengking itu sampai menitis air mata nya.

Itu definisi sahabat sejati di zaman tersebut. Mengambil contoh Abu Bakar r.a. yang begitu sayangkan sahabatnya, baginda Rasulullah s.a.w.

Soalnya, wujudkah sahabat sejati pada zaman sekarang ni? Zaman di mana kita tak perlu berhijrah dari satu negeri ke satu negeri yang lain dan terpaksa bersembunyi di dalam gua akibat desakan dan ancaman manusia lain? Wujudkah sahabat sejati yang sentiasa akan meng'iya'kan apa juga kata-kata sahabatnya dan sentiasa berada di sisi sahabatnya bila diperlukan?


 Kalau definisi sahabat sejati adalah menurut apa yang Abu Bakar sanggup lakukan untuk sahabatnya Nabi Muhammad s.a.w, jawapan saya, takde sahabat sejati sekarang ni.

Sebab Abu Bakar selayaknya bergelar sahabat sejati kepada Nabi Muhammad s.a.w kerana baginda adalah Rasul Allah. Setiap tutur kata dan perlakuan Nabi adalah atas wahyu Allah s.w.t. Maka, tak hairan lah kalau Abu Bakar sentiasa membenarkan apa juga kata-kata dan tindakan Nabi. Bak kata Saiditina Aisyah bahawa Rasulullah itu umpama Al-Quran bergerak. Jadi, memang tidak bertentangan sikap Abu Bakar terhadap sahabatnya Muhammad s.a.w.

Dan Abu Bakar memang layak bergelar sahabat sejati Rasulullah.

Sedangkan kita pada zaman sekarang, manusia biasa. Jauh sekali darjat kita dengan Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang kita cakap, tak semestinya betul. Apa yang kita lakukan, tak semestinya benar menurut Allah. Sebab itu saya cakap sahabat sejati (kalau menurut definisi tingkah laku Abu Bakar terhadap Nabi Muhammad) tak sepatutnya wujud pada zaman ini.

Bagi saya, definisi sahabat sejati sekarang bukan macam Abu Bakar dan Rasulullah. Sahabat sejati pada zaman ini bukan sahabat yang sentiasa membenarkan apa juga kata-kata kita. Sahabat sejati bukan sahabat yang menjadikan kita sebagai idola nya. Bukan itu definisi sahabat sejati pada zaman ini.

Sanggupkah kita menahan paha kita dari sengatan kala jengking semata-mata tak mahu sahabat kita terjaga? Sanggupkah kita berada di sisi sahabat kita apabila hampir seluruh negara mengancam akan membunuh sahabat kita tu? Rasanya, untuk standard kita, manusia biasa di akhir zaman ni, definisi sahabat sejati sebegitu, sangat tinggi untuk kita capai.

Bagi saya, sahabat sejati pada zaman ini ialah seorang sahabat yang tahu untuk menegur bila sahabatnya berbuat salah. Sahabat yang tak berasa gentar untuk menegur sahabatnya kalau sahabatnya itu tersasar dari landasan agama. Sahabat sejati itu sentiasa ada bila diperlukan.

Maksud, bila kita ada masalah ke, bila kita susah hati, dan kita mengadu kat dia, dia ada 'masa' untuk kita. Dia mampu tenangkan hati kita, dia mampu beri nasihat yang 'benar'. Bukan nasihat yang hanya menyebelahi kita. Seorang sahabat yang boleh menolong kita, bukan hanya dari segi material, tapi jugak dari segi mental support.


Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
1) Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu 

2) Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu 

3) Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu 

4) Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan 

5) baik Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu

6) Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya

 7) Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya 

8) Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu

9) Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu

10) Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu

11) Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu

12) Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan 
persahabatan

13) Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat

14) Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

    Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

    Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

    Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
      Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
        Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
          Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
            Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.

              Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. 

              Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.

               Wallahualam...

              0 ulasan:

              Catat Ulasan