Oleh: Ismail Abu Bakar
Bila  di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya  terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam  membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi  lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di  kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan  memilih jodoh sahaja.
Sebenarnya  amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita  kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan  amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah  sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
Mahfum Hadis:
Dari  Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah  dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran.  Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat  dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya  Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon  kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari  limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa  sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak  mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib.  Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku  dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah  pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan  permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya  Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam  urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku,  kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan  untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”
Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.
Sebagai  satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah  benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan  solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.
Kisah-1
Setelah  berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak  hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat  khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya.  Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah  menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi  jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat  dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah  berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah  bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank  walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.
Kisah-2
Abu  dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan  dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang  kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari  kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada  Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room  untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus  membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu  keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan  dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak  mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.
Kisah-3
Munirah  akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk  melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan  sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu  duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.
Kisah-4
Rashid  dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk  mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu  rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam  senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan  berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu  tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.
Kisah  yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri  bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah  sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak  terfikir hendak melakukannya.
Dalam contoh yang lain pula penulis ingin berkongsi dengan satu kisah yang disampaikan kepada penulis seperti berikut;
Kisah-5
Iskandar  berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu  hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak  memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah  menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya  perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung  sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan  kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun  duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000.  Iskandar tidak terus  menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk  membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam  berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia  sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi  menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa,  dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas  itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya   itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun  simpanan tetap Jaafar.  Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa  duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh  digunakan sendiri.
Kisah-6
Cikgu  Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke  Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin  memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab  masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah  walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia  berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan  agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih  baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu  kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah  teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira  kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di  pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan  Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.
Semua  kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil  iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan  akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.
Dewasa  ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih  RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25  tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika  sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah  tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat  dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa  sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah,  Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik  hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.
Seperkara  lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita,  jauhilah segala bentuk  pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional.  Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan  menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan  percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu  kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa  yang boleh menghalangnya.
Mengikut  beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin  dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah  adalah seperti berikut;
1.         Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2  pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu  yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
2.        Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
3.         Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah  Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
4.         Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas  atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
5.        Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)


